Assalamualaikum dan Salam sejahtera

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbangga atas penganjuran Kolokium Professional Learning Community (PLC) kali ketiga Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2020. Terima kasih kepada pihak urus setia kerana memberi ruang kepada saya untuk mencoretkan sepatah dua kata dalam e-buku program ini.   

Syabas dan tahniah kepada Kolej Matrikulasi Kelantan kerana telah berjaya menganjurkan Kolokium PLC 2020 kali ketiga walaupun dalam situasi yang tidak menentu pendemik COVID-19 ini.  Usaha gigih dan penat lelah tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai. Tidak lupa juga tahniah kepada seluruh warga matrikulasi kerana telah bersama-sama menyumbang idea bagi menjayakan kolokium ini.

“Memacu Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Ekosistem Digital” yang merupakan tema Kolokium PLC 2020 ini jelas membuktikan kepekaan warga matrikulasi dalam memberi sumbangan kepada pelaksanaan dasar pendidikan negara selaras dengan Pembelajaran Abad ke- 21. Setinggi-tinggi penghargaan turut diucapkan kepada para pembentang kertas kerja, pempamer poster serta peserta kolokium yang turut menjayakan Kolokium PLC kali ketiga ini. Diharapkan hasil pembentangan ini dapat meningkatkan lagi keupayaan para pendidik untuk berfikir di luar kotak dan menghasilkan kaedah dan amalan PdP terbaik, sekali gus memperkasakan lagi pencapaian pelajar Program Matrikulasi KPM.

Harapan saya supaya kita dapat bersama-sama bergerak sederap dan senada dalam membentuk pelajar yang mampu mendepani cabaran masa hadapan. Semoga budaya penyelidikan ini terus dipergiatkan demi menyebar luas idea-idea yang kreatif dan inovatif serta berkemampuan meningkatkan tahap keberhasilan pendidikan negara.

Akhir kata, sekali lagi sekalung tahniah dan setinggi penghargaan kepada yang terlibat dalam menjayakan Kolokium PLC 2020 kali ketiga ini. Semoga usaha murni kita ini menjadi tampuk kegemilangan pembangunan modal insan sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

“SELAMAT MAJU JAYA”

Dr. HAJAH ROSNARIZAH BINTI ABDUL HALIM
Pengarah
Bahagian Matrikulasi