KATA ALU-ALUAN

PENGARAH KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN (KMKt)

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah hidayahNya, perancangan penganjuran Webinar Professional Learning Communities (PLC) Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2020 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) kerana memberi kepercayaan kepada Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) sebagai urusetia kolokium PLC secara webinar pada tahun 2020 dan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua Jawatankuasa Pelaksana yang telah bertungkus lumus bagi memastikan Webinar PLC ini berjalan dengan lancar dan sistematik.

Matlamat Webinar PLC ini diadakan adalah bertujuan untuk menyebar luas hasil PLC sebagai amalan terbaik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Program Matrikulasi. Selain itu, webinar ini juga bertujuan memperkasakan pembangunan amalan PLC Program Matrikulasi KPM serta menambahbaik PdP dengan kaedah-kaedah teknologi dan aplikasi digital terkini yang lebih berpusatkan pelajar.

Penganjuran webinar bertemakan “Memacu Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Ekosistem Digital”  ini juga dilihat bertepatan dengan proses PdP pada abad ke-21 yang memerlukan para pendidik agar sentiasa membuat refleksi PdP yang dilaksanakan di dalam kelas. Hal ini adalah selaras dengan keperluan PdP yang dipengaruhi globalisasi dan revolusi teknologi digital agar dapat menyediakan pelajar yang lebih mandiri dan dinamik. Justeru, para pendidik hari ini perlu bijak memupuk keupayaan pelajar untuk menganalisis, mensintesis dan menilai fakta serta maklumat, menggunakan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Oleh itu, melalui penyelidikan dan semakan semula amalan secara berterusan, para pendidik boleh membuat justifikasi terhadap amalan mereka secara bertanggungjawab selepas melakukan refleksi kendiri dan penilaian kendiri. Amalan ini akan menghasilkan pendidik yang betul-betul profesional. Oleh  yang demikian, penganjuran Webinar PLC dan konvensyen penyelidikan sebegini amat digalakkan kerana ia dapat berfungsi sebagai landasan kepada warga pendidik bagi mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Program ini sememangnya memberikan banyak manfaat, khususnya kepada para pendidik di Program Matrikulasi KPM dan seluruh warga pendidik KPM.

Akhir kata, sekalung tahniah diucapkan kepada semua pihak yang bergabung tenaga dalam merealisasikan kejayaan Webinar PLC ini. Semoga ianya memberi impak yang cemerlang buat semua warga pendidik dalam memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“SELAMAT BERKONGSI ILMU”

PUAN NOR HASLIDA BINTI TAHIR
Pengarah
Kolej Matrikulasi Kelantan