KATA ALU-ALUAN
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Salam sejahtera

Alhamdulillah, dengan izin dan kurnia-Nya, Kolokium Professional Learning Community (PLC) kali ketiga Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2020 telah berjaya dilaksanakan.

Tema Kolokium PLC 2020 “Memacu Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Ekosistem Digital” adalah selari dengan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Melalui inisiatif ini, KPM bekerja sama dengan pembekal teknologi maklumat seperti Google, Microsoft dan Apple dalam memperkasakan pembelajaran digital. Pensyarah matrikulasi seharusnya memanfaatkan aplikasi dan servis serta bahan sedia ada oleh ketiga-tiga pembekal teknologi ini untuk menjadikan PdP lebih kreatif dan menarik. Situasi Pendemik COVID-19 ini merupakan masa yang paling sesuai untuk melibatkan diri dalam ekosistem pembelajaran digital ini bagi memastikan PdP yang lebih interaktif dan efisien walaupun dilaksanakan secara maya.

Kecemerlangan modal insan Malaysia pada masa hadapan bergantung kepada warga pendidik hari ini yang sentiasa dimantapkan dengan ilmu dan pengetahuan terkini dari pelbagai disiplin ilmu. Justeru, dalam usaha meningkatkan kualiti pendidik, Kementerian Pendidikan Malaysia memberi penekanan ke atas pembudayaan amalan penyelidikan dan pembangunan di semua organisasi pendidikan seperti kolej matrikulasi, institut pendidikan guru dan sekolah.

Penganjuran kolokium sebegini menggambarkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk memupuk budaya penyelidikan sebagai amalan profesional dalam kalangan warga pendidik Program Matrikulasi KPM. Di samping itu, pelaksanaan program ini juga merupakan wadah pemupukan warga pendidik untuk memaparkan hasil penyelidikan mereka. Sekali gus, berupaya memantapkan lagi pembudayaan ilmu dalam kalangan komuniti pendidikan.

Saya berharap agar program-program sebegini diteruskan lagi oleh warga matrikulasi dan membuka penyertaan kepada warga pendidikan yang lainnya. Akhir kata, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada warga Program Matrikulasi atas penganjuran kolokium ini. Tahniah kepada semua pembentang dan peserta kertas kajian serta pempamer poster kerana telah menjadikan Kolokium PLC2020ini sebagai medan perkongsian pengetahuan, pengalaman dan cetusan idea ke arah menempa kejayaan dalam bidang pendidikan negara ini.

BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH

DATUK DR. HABIBAH BINTI ABDUL RAHIM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia